PROGRAM SUNATHON 2021

Program berkhatan secara beramai-ramai

Program Sunathon adalah program berkhatan beramai-ramai yang merupakan salah satu program khas di bawah Bantuan Kluster Pembangunan Ummah. Program ini bertujuan untuk membantu meringankan beban ibu bapa daripada golongan berpendapatan rendah atau B40 yang tidak mampu untuk menyediakan bayaran kos berkhatan yang tinggi bagi anak-anak mereka. 


Bermula pada tahun 2015, program ini pada mulanya hanya mensasarkan kepada 30 orang anak-anak asnaf berumur 10 hingga 12 tahun di kepulauan Tumpat, Kelantan. Dan ianya diteruskan pada setiap tahun pada skala kecil. Kebiasaannya program ini diadakan pada bulan Disember, bertepatan dengan cuti persekolahan akhir tahun. 


Pada awal Disember 2021, Yayasan Raja Shamri dan The 3rd Force telah melancarkan program Sunathon 2021 dengan melibatkan beberapa Third Force Chapters seperti di Pasir Mas, Rantau Panjang, Tumpat, Selangor dan Sabah (Lahad Datu, Tawau dan Semporna). Seramai 160 orang peserta yang terdiri daripada anak-anak asnaf di bawah seliaan Third Force Chapters telah mendapat manfaat daripada program ini. 


Di samping itu juga, bantuan berupa pek barangan asas turut diberikan kepada keluarga peserta yang rata-rata terkesan akibat pandemik Covid-19 yang melanda di negara kita. Tambahan pula di musim tengkujuh ini, ada di antara ibu bapa yang bekerja sendiri terjejas punca pendapatan.


Yayasan Raja Shamri dan The 3rd Force telah mendapat kerjasama daripada agensi korporat dan pelbagai lapisan masyarakat dalam membantu menjayakan program ini. Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada Jabatan Surgeri USM, Majlis Daerah Pasir Mas, Klinik Kesihatan Lati, Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Klinik Perdana Pasir Pekan, Klinik Ruslan (Lahad Datu) serta AJK Surau dan KRT Kota Perdana Seri Kembangan di atas penglibatan bersama dan memudahkan perjalanan program Sunathon 2021. 

No items found.