Kota Bharu: “Dilahirkan tanpa sebelah tangan daripada paras siku ke bawah langsung tidak mematahkan semangat saya untuk meneruskan kehidupan seharian, malah saya anggap ia sebagai suatu keistimewaan di dunia ini,” luah Johan Tan Abdullah, 77.
Dia yang juga bapa kepada enam cahaya mata berusia 20 hingga 38 tahun, mengakui tangan palsu dipakai lebih 30 tahun lalu hanyalah sebagai ‘pelengkap’ fizikal, selain memaklumkan lebih selesa melakukan sebarang pekerjaan tanpa memakainya.
Menurutnya, dia boleh melakukan pekerjaan berat seperti mereka yang normal tanpa tangan palsu, namun mengakui ia masih diperlukan ketika keluar berhadapan orang ramai bagi mengelak pandangan simpati terhadap dirinya yang sudah reda serta biasa hidup sebagai Orang Kurang Upaya (OKU).
“Malah, saya boleh memandu dan menunggang motosikal sendirian selain sudah mendapat lesen ketika usia 20-an lagi. Saya mahu buktikan OKU juga mampu melakukan semua ini mengikut keupayaan yang ada.
“Jika memandu, saya lebih selesa menanggalkan tangan palsu dan memegang stereng kereta hanya dengan satu tangan sahaja, tetapi apabila menunggang motosikal, tangan palsu diletakkan pada salah satu handle motosikal agar ia lebih stabil.
“Tangan palsu ini sudah bertukar warna kerana ia terlalu lama, yang mana saya tempahnya di Singapura 30 tahun lalu, tetapi masih dipakai kerana saya tidak mampu untuk membuat yang baru kerana harganya yang mahal,” katanya yang berterima kasih kepada Yayasan Raja Shamri (YRS) kerana menyampaikan sumbangan tangan palsu buatnya.
Johan adalah salah seorang daripada dua individu yang menerima sumbangan berkenaan daripada Pengasas YRS, Raja Shamri Raja Husin, di Nusa Prosthetic & Orthotic Centre Sdn Bhd di Wakaf Che Yeh, di sini, semalam.
Sementara itu, bagi Mohamad Hafizi Husin, 37, yang dilahirkan tanpa tangan di sebelah kanan, berkata sumbangan tangan palsu memberi nafas baru buatnya agar lebih berkeyakinan menjalankan aktiviti seharian selepas ini.
“Saya tak terfikir nak buat tangan palsu kerana tahu kosnya agak mahal, tetapi selepas dimaklumkan bakal menerimanya secara percuma memang gembira dan bersyukur. Kini impian untuk melihat tangan saya ‘sempurna’ menjadi kenyataan.
“Insya-Allah, saya akan meneruskan kehidupan dengan lebih baik selepas ini serta tidak sesekali menjadikan alasan kekurangan fizikal sebagai penghalang untuk bekerja serta memiliki kehidupan yang lebih baik kelak,” katanya yang berasal dari Kampung Panji, di sini.
Sementara itu, Raja Shamri berkata, pihaknya memperuntukkan hampir RM14,000 untuk kos menyediakan tangan palsu berkenaan yang mana bertujuan membantu golongan OKU.
Sumber berita : Harian Metro