Hubungi kami :  +6097868787 | info@yayasanrajashamri.org | Isnin – Jumaat / 9:00 AM – 19:00 PM

Calon SPM lumpuh separuh badan, tekad jejak menara gading

PASIR MAS: Walaupun diuji dengan serangan lumpuh separuh badan, tidak menghalang Husna Shafieka Husni Hanafi, 18, belajar bersungguh-sungguh bagi menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Mac nanti.

Remaja berjiwa kental itu sanggup belajar sambil meniarap di rumah walaupun kerap mengalami sakit melampau pada bahagian belakang badan.

Dia yang juga anak sulung daripada tiga adik-beradik, memerlukan bantuan penuh untuk duduk termasuk bangun daripada katil.

“Saya mula mengalami sakit pada Disember tahun lepas, dalam tempoh masa yang terlalu cepat, saya kemudian menjadi lumpuh daripada pinggang ke bawah pada Januari lalu. Kini saya tidak mampu berjalan dan hanya terbaring di katil.

“Sejujurnya, saya berasa sedih dan hampir berputus asa, namun memikirkan bapa, Husni Hanafi Abu Kasim, 44, dan ibu, Suriana Mat Hussin, 46, saya terus menguatkan diri melawan sakit dan meneruskan perjuangan untuk menghadapi SPM.

“Lagipun, saya anak sulung dan mempunyai impian besar untuk mengubah nasib keluarga serta membalas jasa kedua-dua orang tua yang banyak berkorban buat kami adik-beradik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kedondong, di sini, hari ini.

Nasib Husna turut mendapat perhatian pengasas Yayasan Raja Shamri (YRS), Raja Shamri Raja Husain, yang menziarahinya untuk menyampaikan sumbangan barangan keperluan, kerusi roda dan bantuan kewangan.

YRS turut menjadikan Husna sebagai anak asnaf di bawah kelolaan yayasan terbabit selain dalam perancangan untuk membantunya daripada segi perubatan.

Husna berkata, dia perlu menjalani rawatan susulan pada setiap bulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, dan terpaksa menggunakan khidmat kereta tambang dengan bayaran sebanyak RM80 untuk pergi dan balik.

“SPM bakal tiba tidak lama lagi, saya berharap agar dapat mencapai keputusan yang saya mahukan dan pada masa sama berdoa supaya segera pulih seperti biasa.

“Saya juga mahu ke menara gading seperti orang lain untuk mengejar impian tanpa sebarang halangan,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang jururawat.

Katanya, dia akan cuba mengambil peluang untuk belajar dengan sebaiknya walaupun kini dalam keadaan meniarap.

 

Sumber Akhbar : Berita harian