Rantau Panjang: “Mungkin sudah ditakdirkan jodoh saya belum sampai, tambahan pula tanggungjawab lebih besar untuk menjaga ibu yang sudah berusia,” luah Zulkifli Hussin, 54.
Zulkifli anak ‘teruna’ yang sudah berusia namun mengetepikan dahulu soal jodoh demi menjaga ibu tercinta, Minah Mamat, 87, dengan baik walaupun mereka terpaksa menumpang di rumah kosong milik saudara di kawasan agak terpencil.
Katanya, mereka berasal daripada keluarga yang tidak berharta jadi kini hanya hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dengan memastikan ibunya terjaga dan tidak kelaparan.
“Saya mengambil upah menoreh getah untuk mencari sesuap nasi. Sebelum keluar menoreh, saya pastikan ibu sudah mandi dan diberi makan sebelum ditinggalkan untuk bekerja.
“Sejujurnya, setiap kali meninggalkan ibu di rumah, saya berasa risau akan keadaannya kerana dia hanya mampu mengesot serta tidak dapat melihat jelas susulan implikasi sakit kencing manis. Namun, apakan daya saya perlu mencari wang untuk menyara hidup kami berdua.
“Ramai yang mempersoalkan kenapa saya masih tidak berkahwin, namun biasanya saya diam sahaja walaupun hakikatnya saya mahu fokus kepada ibu,” katanya ketika ditemui di rumah usang tempat mereka berteduh di Kampung Tasek Bakong, di sini.
Dua beranak berkenaan turut dikunjungi wakil Thirdforce Rantau Panjang di bawah Yayasan Raja Shamri (YRS), Tuan Zaimah Raja Omar, yang turut menyampaikan sumbangan kewangan dan barang keperluan asas.
Zulkifli yang sering menjadi imam di surau kampungnya itu mengakui menyimpan hasrat untuk membina rumah yang lebih selesa buat ibunya, namun tidak mampu kerana hanya memperoleh pendapatan RM500 sebulan hasil menoreh getah.
“Kami tidak menerima sebarang bantuan termasuk daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, jadi hanya mengharapkan saya sepenuhnya untuk bekerja. Saya juga pernah beberapa kali memohon untuk mendapatkan rumah tetapi tidak berjaya.
“Saya tidak menolak jika ada rezeki jodoh namun bimbang akan menyusahkan orang memandangkan saya tiada apa-apa selain perlu menjaga ibu yang sudah berusia,” katanya.
Menurutnya dia mempunyai tiga adik beradik namun mengambil tanggungjawab menjaga ibu selain tidak menganggap ia sebagai suatu bebanan sebaliknya ‘saham’ akhirat buatnya kelak.
Sumber berita : Harian Metro