Hubungi kami :  +6097868787 | info@yayasanrajashamri.org | Isnin – Jumaat / 9:00 AM – 19:00 PM

YRS sasar 5,000 cermin mata untuk anak asnaf

PASIR MAS: Yayasan Raja Shamri (YRS) menyasarkan 5,000 anak asnaf bakal menikmati cermin mata percuma dengan pelancaran Program Cermin Mata Percuma.

Pengerusi Eksekutif YRS, Raja Shamri Raja Husain, berkata yayasan itu memperuntukkan RM600,000 untuk program berkenaan hasil sumbangan orang ramai.

Beliau berkata, pihaknya mendapat maklum balas daripada guru dan ibu bapa mengenai keperluan cermin mata anak-anak miskin yang menyebabkan mereka ketinggalan dalam pelajaran, selain menyebabkan sakit kepala yang teruk hingga hilang fokus dalam kelas.

“Menyedari mengenai masalah terbabit, yayasan melaksanakan program cermin mata percuma ini dan mengalu-alukan penyertaan optometris untuk bersama-sama kita bagi menjayakan usaha kemanusiaan ini.

“Sebagai permulaan, kita menyasarkan anak-anak golongan B40 di seluruh Kelantan dan akan diperluaskan ke seluruh negara dengan bantuan sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) Thirdforce bagi mengenal pasti mereka yang layak menerima bantuan,” katanya ketika ditemui menyampaikan sumbangan cecair pembasmi kuman kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Mas, di sini, kelmarin.

Raja Shamri berkata, sebanyak 5,000 botol cecair pembasmi kuman diserahkan kepada PPD dan petugas barisan hadapan di seluruh negara untuk diedarkan dalam usaha bersama-sama memutuskan rantaian COVID-19.

“Penyerahan juga akan dilakukan di PPD lain selepas ini dan YRS berterima kasih kepada pihak PPD yang rata-ratanya memberi kerjasama baik bagi melaksanakan penyerahan cecair pembasmi kuman selain menyambut baik Program Cermin Mata Percuma berkenaan,” katanya.

 

Sumber Akhbar : Berita harian