Hubungi kami :  +6097868787 | info@yayasanrajashamri.org | Isnin – Jumaat / 9:00 AM – 19:00 PM

Wanita OKU berjiwa kental jaga ibu mentua terlantar

Pasir Mas: “Walaupun dia ibu mentua, saya tetap menjaganya seikhlas hati biarpun saya sendiri hanya ada sebelah tangan untuk membantu,” kata Siti Hasnidawati Hamzah, 27.

 

 

Siti Hasnidawati adalah pemegang kad orang kurang upaya (OKU) fizikal kerana cacat tangan kanan sejak lahir, tetapi sanggup menjaga ibu mentua, Siti Rokiah Ibrahim, 50, yang terlantar akibat kanser payu dara.

 

Menurutnya, ibu mentuanya yang digelar ‘umi’ disahkan menghidap kanser beberapa tahun lalu dan keadaan semakin parah apabila kini hanya terbaring di katil sejak tiga bulan lalu.

 

“Saya dan suami sebelum ini bekerja di luar Kelantan sebelum mengambil keputusan pulang untuk mencari rezeki di kampung selepas memikirkan orang tua yang sudah berusia dan sakit. Tambahan pula, suami saya adalah anak tunggal.

 

“Setiap hari saya akan menemani umi termasuk menyediakan makan dan minumnya. Sebelum suami dan bapa mentua, Rosli Hassan, 51, keluar bekerja, mereka membantu dengan memandikan umi kerana saya tidak mampu melakukanya sendirian.

 

“Ibu mentua saya seorang yang sangat penyayang dan sebolehnya tidak mahu menyusahkan anak menantu sewaktu dia masih sihat, jadi bila keadaan berubah begini, umi sering kali rasa bersalah kerana memikirkan dia menyusahkan saya,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Perah, Tok Uban, di sini.

 

Siti Hasnidawati turut dikunjungi wakil Thirdforce di bawah Yayasan Raja Shamri (YRS), Tuan Zaimah Raja Omar, yang turut menyampaikan sumbangan kewangan serta barangan keperluan kepada Siti Hasnidawati sekeluarga.

 

Dia yang juga ibu kepada seorang cahaya mata, bagaimanapun sentiasa memberi semangat dan kekuatan kepada ibu mentua serta berjanji akan menjaga sebaiknya selagi hayat dikandung badan.

 

“Umi adalah ‘syurga’ suami saya dan saya bersyukur kerana mempunyai suami yang sangat baik dan bertanggungjawab. Jadi, apa salahnya saya menjaga syurga suami kerana saya juga benar-benar ikhlas menyayangi umi.

 

“Kudrat saya mungkin tidak sekuat orang lain kerana saya hanya bergantung kepada satu tangan sahaja. Namun, saya masih boleh memasak, membasuh serta mengemas sambil menjaga umi.

 

“Dalam masa sama, saya juga menjaga anak, Nur Hanan Zafeera Zukefli, 10 bulan, dan bersyukur kerana diberikan kekuatan oleh Tuhan untuk menguruskan semuanya dengan baik,” katanya yang juga penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

 

Katanya, kehidupan mereka sekeluarga serba sederhana kerana suami hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan tidak menentu.

 

“Setiap bulan. suami perlu sediakan RM300 sebulan untuk lampin pakai buang umi, tidak termasuk kos rawatan. Tetapi kami percaya insya-Allah, akan ada rezeki atau peluang kerja kerana kami berjuang untuk menjaga umi.

 

“Besar harapan saya dan suami untuk melihat umi kembali sihat dan berdoa semoga sakitnya diberi kesembuhan,” katanya.

 

Sumber berita: Harian Metro