Hubungi kami :  +6097868787 | info@yayasanrajashamri.org | Isnin – Jumaat / 9:00 AM – 19:00 PM

Gadis depresi tangguh pengajian demi jaga ibu terlantar ahmar, abang diserang sawan

TANAH MERAH: Seorang gadis terpaksa berkorban menangguhkan dahulu pengajiannya buat sementara waktu, demi menggalas tanggungjawab menjaga ibu yang terlantar akibat angin ahmar serta abang penghidap sawan.

 

Hanisya Azureen Huzaimi, 22, yang juga penuntut Semester Tiga Diploma Seni Bina di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Pasir Mas, tidak mempunyai pilihan lain memandangkan hanya dia sahaja yang ada untuk menjaga dua ahli keluarganya itu.

 

Katanya, keputusan menangguhkan pengajian turut diambil susulan dia turut berdepan masalah tekanan dan depresi sejak tiga tahun lalu sehingga memerlukan rawatan serta pengambilan ubat pada setiap hari.

 

“Ibu saya, Rosydiah Rashidi, 48, diserang angin ahmar sejak lapan tahun lalu, namun keadaan kesihatan semakin teruk apabila kini dia hanya mampu terlantar. Manakala, abang, Hilman Zameer Huzaimi, 23, perlu sentiasa dalam pengawasan kerana boleh diserang sawan pada bila-bila masa sahaja.

 

“Hati saya tidak tenang memikirkan ibu serta abang di rumah, ditambah pula dengan depresi yang saya alami. Jadi, saya mengambil keputusan untuk berasa di rumah sambil merawat sakit saya dahulu.

 

“Jika saya ke kolej, mereka berdua akan dijaga oleh ayah, Huzaimi Zakaria, 51, sekali gus menyukarkan ayah untuk keluar bekerja bagi mencari sesuap nasi buat kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Manal, di sini, semalam.

 

Hanisya sekeluarga dikunjungi wakil Thirdforce dibawah Yayasan Raja Shamri (YRS), Tuan Zaimah Raja Omar, yang turut menyampaikan sumbangan kewangan dan barangan keperluan asas selain memberikan kata-kata semangat buat anak muda berkenaan.

 

“Kami sekeluarga hidup kais makan makan pagi, kais petang makan petang, dengan mengharapkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima ibu dan abang, masing-masing sebanyak RM300.

 

“Abah pula hanya bekerja mengambil upah mesin rumput dengan pendapatan yang tidak menentu. Kami memerlukan RM1,000 sebulan untuk keperluan lampin pakai buang dan susu khas buat ibu.

 

“Ada masanya, kami hanya makan nasi dengan budu tanpa sebarang lauk, tetapi kami tetap bersyukur dan menerima ujian ini dengan reda,” katanya yang juga anak kedua daripada tiga adik beradik.

 

Jelasnya, dia berharap agar ibunya kembali sihat supaya dapat meneruskan pengajian selepas ini demi mencapai cita-cita seterusnya berjaya untuk membantu keluarga mendapat kehidupan yang lebih baik.

 

Sumber: Berita Harian