RANTAU PANJANG: 40 biji pizza diagihkan kepada kanak-kanak di sekitar Kampung Bawah Lembah, di sini, yang dilanda banjir.
Inisiatif oleh Thirdforce Rantau Panjang ini bertujuan membawa kegembiraan dalam kesulitan yang didepani penduduk setempat.
Sukarelawan Thirdforce Rantau Panjang, Tuan Zaimah Raja Omar, berkata agihan pizza berkenaan adalah daripada penyumbang yang menyalurkan derma melalui Thirdforce yang juga badan bukan kerajaan (NGO) dibawah seliaan Yayasan Raja Shamri (YRS).
“Alhamdulillah, penduduk terutama kanak-kanak sangat gembira menerima kotak pizza terbabit, malah ada yang terus menikmatinya memandangkan cuaca hujan dan sejuk, membuatkan mereka mudah kelaparan.
“Sekurang-kurang kami boleh memberikan mereka senyuman walaupun kediaman masing-masing sudah digenangi air dan majoriti daripada penduduk di sini menunggu masa untuk berpindah ke tempat selamat.
“Sebelum ini, Thirdforce aktif menyampaikan sumbangan banjir berbentuk barangan keperluan asas serta pek makanan bagi membantu mangsa banjir,” katanya ketika ditemui selepas mengagihkan pizza di Kampung Bawah Lembah, di sini, hari ini.
Tuan Zaimah berkata, adalah sesuatu yang baik jika wakil NGO dapat memikirkan bentuk bantuan yang berbeza daripada biasa seperti mengagihkan pizza, burger atau buah-buahan yang boleh dimakan terus terutama ketika musim banjir.
Menurutnya, umum mengetahui, kebanyakan mangsa banjir pasti akan mendapat pek makanan serta barangan mentah lain daripada agensi berkenaan selain penduduk sendiri sudah membuat persiapan awal untuk menyediakan barangan sedemikian.
Salah seorang kanak-kanak yang menerima pizza, Ahmad Danish Azhar, 10, mengakui teruja menerima kotak pizza dan tidak menyangka ada yang sudi masuk ke kampungnya yang sudah dilanda banjir.
“Sebelum ini, saya lihat ramai yang menyampaikan bantuan seperti beras, minyak, dan biskut, tetapi kali ini saya dapat pizza yamg sedap. Saya sangat gembira dan ini mengucapkan terima kasih kepada pemberi.
“Dapatlah saya kongsikan pizza ini dengan adik beradik yang lain, kerana kami sendiri sudah takut untuk meninggalkan rumah untuk keluar membeli kerana bimbang paras air meningkat lagi,” katanya.
Sumber: Buletin TV3