KOTA BHARU: Seorang ibu tunggal cekal mengutip barangan terbuang yang boleh dikitar semula untuk membesarkan enam anak sejak lebih 10 tahun lalu, hingga seorang daripadanya sedang melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli.
Zinorlaili Mat Ail, 46, terus gigih berpanas atau hujan demi mencari sumber pendapatan bagi memastikan dapurnya berasap untuk diberi makan kepada anak-anak termasuk ibunya, Memunah Seman, 76.
Beliau berkata, barangan terbuang seperti kotak, plastik, besi dan botol yang dilihat tidak bernilai di mata orang lain adalah rezeki buat dirinya yang bekerja setiap hari bermula jam 8 pagi sehingga 10 pagi diikuti jam 5 petang hingga 7 malam.
“Saya keluar mendapatkan barangan terbuang untuk dijual ke kilang kitar semula berdekatan sebelum kembali ke rumah untuk makan dan solat. Biasanya, sudah ada premis atau tuan kedai yang menghubungi saya jika ada barangan yang boleh dikitar semula hendak dibuang, kerana mereka sedia maklum saya akan mengambilnya untuk ‘ditolak’ ke kilang.
“Pada 2012, saya memulakan kerja ini dengan hanya mengayuh basikal mencari kotak dan botol terbuang, sebelum mendapat perhatian penghulu kampung pasa 2013, dengan menghadiahkan saya motosikal roda tiga untuk memudah kerja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Masjid Baung Bayam, di sini.
Bagaimanapun, motosikal berkenaan mengalami banyak kerosakan selepas digunakan untuk mengangkut barangan hampir setiap hari, namun nasib Zinorlaili mendapat perhatian wakil Thirdforce di bawah Yayasan Raja Shamri (YRS), Muhd Fakhry Radhi Ahmad Dusuki.
Zinorlaili menerima sumbangan motosikal roda tiga yang baharu daripada YRS pada Oktober lalu sekali gus menghilangkan kebimbangannya untuk mencari wang bagi membaiki kerosakan motosikal lama miliknya itu.
“Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang membantu meringankan beban saya sekeluarga termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memberi bantuan RM300 sebulan.
“Saya akan teruskan kerja ini selagi ia halal, malah tidak pernah merasa malu kerana mengutip barangan terbuang untuk dikitar semula juga suatu kerja yang murni selain secara tidak langsung dapat menjaga alam sekitar,” katanya yang juga ibu kepada anak berusia 12 hingga 24 tahun.
Beliau berkata, hasil daripada mengumpul barangan terbuang juga dia dapat memberi pendidikan kepada anak-anak termasuk anak kedua, Nur Anis Zulaikha Mohd Asri, 21, yang kini melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli.
Sumber: Berita Harian