Hubungi kami :  +6097868787 | info@yayasanrajashamri.org | Isnin – Jumaat / 9:00 AM – 19:00 PM

Berperahu ambil bantuan pek makanan YRS, bomba

Rantau Panjang: Penduduk berpusu-pusu keluar menggunakan perahu untuk mendapatkan bantuan pek makanan yang dibawa ke penempatan mereka selepas kediaman digenangi banjir hampir dua minggu.

Sebanyak 60 pek makanan diagihkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) Thirdforce melalui Yayasan Raja Shamri (YRS) bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan kepada mangsa banjir di Kampung Padang Licin dan Kampung Bawah Lembah, di sini, semalam.

Penerima, Abdul Aziz Abdul Rahman, 56, berkata dia sangat gembira kerana ada pihak yang sanggup meredah banjir masuk ke kawasan penempatan yang terperangkap untuk mengagihkan sumbangan pek makanan.

“Biasanya, saya dan beberapa penduduk lain terpaksa meredah banjir sejauh lima kilometer (km) untuk keluar ke kedai berdekatan bagi membeli keperluan asas dan barangan dapur.

“Bila dengar sahaja hon daripada jentera bomba yang kemudian menjerit untuk kami keluar mengambil barangan, saya terus mendayung perahu untuk menerima sumbangan. Begitu juga dengan jiran-jiran lain yang teruja kerana ada yang sanggup datang membantu.

“Kawasan kami agak sukar diakses, jadi jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak bomba dan YRS kerana sanggup meredah banjir demi menyampaikan sumbangan kepada kami di sini,” katanya ketika ditemui selepas menerima bantuan pek makanan di Kampung Bawah Lembah, di sini, semalam.

Bagi Che Tengah Dollah, 63, sumbangan makanan itu sangat bermakna, tambahan pula ketika mereka sedang diuji dengan banjir.

Menurutnya, pek makanan berkenaan sekurang-kurangnya memberikan senyuman dan kelegaan buat penduduk di situ selain turut mengucapkan terima kasih serta syukur kepada pihak yang membantu.

Sementara itu, Pengasas Yayasan Raja Shamri (YRS), Raja Shamri Raja Husin, berkata kesemua sumbangan itu adalah inisiatif YRS untuk turun padang membantu dan merasai sendiri nasib yang menimpa mangsa banjir terutama di kawasan yang sukar untuk diakses.

“Semua yang menerima bantuan tidak henti-henti mengucapkan terima kasih. Melihat senyuman di wajah mereka terutama golongan warga emas dan kanak-kanak sudah cukup melegakan kami di YRS.

“Insya-Allah kita akan teruskan lagi usaha untuk membantu mangsa banjir dan fokus YRS selepas ini adalah untuk menyampaikan sumbangan bekalan air bersih kepada mangsa banjir.

“Kami di YRS juga mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk menyalurkan sumbangan melalui yayasan supaya dapat membantu lebih ramai mangsa banjir bukan sahaja di Kelantan tetapi seluruh negara,” katanya

Tambahnya, dia turut mengucapkan terima kasih kepada JBPM Kelantan yang sudi bekerjasama menjayakan misi bantuan pek makanan kepada mangsa banjir yang tidak berpindah dan terperangkap.

Sumber: Metro