Hubungi kami :  +6097868787 | info@yayasanrajashamri.org | Isnin – Jumaat / 9:00 AM – 19:00 PM

Thirdforce bantu penduduk di Rantau Panjang

BAGI membantu 40 keluarga asnaf yang tidak berkemampuan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Thirdforce (3rdforce) mengagihkan 70 ekor ayam secara percuma kepada penduduk di Rantau Panjang, Kelantan.

 

Selain ayam, badan bukan kerajaan (NGO) itu turut memberi bekalan asas lain seperti telur, minyak dan beras kepada mereka yang memerlukan di sekitar kawasan itu.

 

Pengasas Thirdforce, Raja Shamri Raja Husain, berkata, sumbangan itu adalah sumbangan individu dan orang ramai melalui mereka selain hasil inisiatif ahli sendiri mendapatkan dana untuk membantu mereka yang memerlukan.

 

“Sebagai rakyat, kita akur dengan arahan kerajaan dengan mematuhi PKP namun selaku NGO bertanggungjawab, kami memainkan peranan sendiri bagi membantu mereka yang terkesan supaya dapat meneruskan kehidupan biarpun usaha kami ini tidak seberapa.

 

“Bagaimanapun, sukarelawan Thirdforce yang terbabit sentiasa diingatkan tentang keselamatan serta kebersihan diri selain mendapat kebenaran pihak berkuasa sebelum agihan dilakukan di setiap kawasan atau lokasi yang dibenarkan.

 

“Sepanjang agihan diberikan, kami dapat melihat riak wajah gembira setiap keluarga menerima sumbangan biarpun hanya seekor ayam malah mereka berulang kali mengucapkan rasa syukur dan berterima kasih,” katanya.

 

Raja Shamri berkata, sumbangan itu akan diteruskan lagi di jajahan lain jika masih ada mereka yang budiman menghulurkan bantuan ketika negara sedang menghadapi wabak Covid-19, namun berharap situasi itu pulih secepat mungkin.

 

Sementara itu, salah seorang penerima, Salamiah Salleh, 31, meluahkan rasa syukur dan berterima kasih di atas sumbangan yang diberikan memandangkan dia sendiri sudah tidak dapat keluar mencari rezeki

 

“Suami saya, Hasbullah Ahmad, 39, sudah jarang sekali keluar menoreh kerana risau dengan wabak yang melanda ditambah pula urusan jual beli getah juga terhenti sepanjang tempoh PKP.

 

“Kami sekeluarga termasuk tiga anak berusia dua hingga lapan tahun terpaksa berjimat cermat bagi memastikan bekalan makan tidak terputus malah bersyukur kerana ada yang membantu.

 

“Saya berharap masalah yang dihadapi negara hari ini dapat diselesaikan segera kerana ia membimbangkan golongan seperti kami yang kais pagi makan pagi, kais petang, makan petang,” katany ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gual Tualang, Kubang Rambutan, di sini, hari ini.

 

Sumber: Metro