Rantau Panjang: Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya, berpegang kepada peribahasa itu, seorang remaja gigih bekerja di ladang sawit bagi mencari wang untuk menampung perbelanjaan di universiti kelak.
Mohammad Daniel Muiz’zudin Shah Mudzafar Shah, 18, yang kehilangan ibu sejak empat tahun lalu, menumpang kasih datuknya, Abd Talib Mamat, 60, dan nenek, Siti Esah Muhammad, 54, selepas bapanya juga menghilangkan diri.
Dia yang bekerja membantu datuknya menerima upah RM20 sehari sepanjang menunggu keputusan untuk ke menara gading sehinggalah menerima tawaran Diploma Kejututeraan Awam di Universiti Malaysia Pahang (UMP).
“Sejujurnya, saya pernah meluahkan rasa putus asa dan tidak mahu meneruskan pelajaran kerana memikirkan datuk dan nenek yang tidak berkemampuan, namun saya sedar hanya pendidikan yang boleh merubah kehidupan menjadi lebih baik.
Mohamad Danial ditemui di rumahnya selepas menerima kunjungan wakil Yayasan Raja Shamri (YRS) , Tuan Zaimah Raja Omar, yang menyampaikan sumbangan komputer riba, mesin pencetak dan telefon bimbit di Kampung Gual Mekong, Bukit Tandak, di sini, semalam.
YRS turut menjadikan Mohamad Danial sebagai anak asnaf di bawah kelolaanya yayasan berkenaan sejak beberapa tahun lalu selain turut menjaga kebajikan anak remaja terbabit.
Mohammad Daniel turut mengucapkan rasa syukur dan terima kasih di atas keprihatinan YRS yang banyak membantunya dari segi kewangan dan menyediakan peralatan pembelajaran yang selama ini menjadi kekangan utama buatnya.
“Selama ini saya belum pernah ada komputer riba sendiri hanya menggunakan kemudahan berkenaan ketika di sekolah, malah bernasib baik mendapat perhatian guru yang membelikan telefon bimbit untuk menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Insya-Allah, saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh demi mencapai kejayaan supaya jasa nenek dan datuk serta semua undividu yang membantu saya dapat dibalas sebaiknya,” katanya yang juga seorang anak tunggal.
Sumber: Metro