Tanah Merah: “Selagi nyawa dikandung badan saya akan terus berusaha membesarkan adik-adik yang masih bersekolah kerana sayalah ‘bapa’ dan ‘ibu’ kepada mereka,” luah Nur Azlin Ab Malek, 27.
Nur Azlin yang kehilangan ibu pada 2015 akibat kanser otak terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga semasa usia belasan tahun sehingga kini, kerana kedua orang tuanya sudah berpisah selain bapa turut meninggal dunia pada September tahun lalu.
Buntu memikirkan cara untuk membesarkan adik-adiknya, Nur Azlin berkerja sebagai pembantu klinik di ibu kota memberikan separuh daripada gaji kepada empat adiknya di kampung.
“Saya masih ada tiga adik yang bersekolah, berusia 12 hingga 17 tahun. Manakala, seorang lagi adik, Muhammad Effendy, 21, bekerja sebagai jurujual di Kota Bharu dengan pendapatan yang cukup untuk menampung kehidupannya sahaja.
“Setiap hari saya akan menelefon adik-adik di kampung untuk bertanya khabar serta makan minum supaya mereka tidak kelaparan walaupun saya sendiri terpaksa mengikat perut.
“Bagi mencari wang sampingan, saya turut menjalankan perniagaan secara dalam talian,” katanya ketika ditemui selepas menerima lawatan wakil Thirdforce di bawah Yayasan Raja Shamri (YRS), Wan Zalilah Shafie di rumah sewanya di Kampung Jalan Lubuk, di sini.
Wan Zalilah hadir bersama beberapa sukarelawan Thirdforce menyampaikan sumbangan kewangan serta barangan keperluan asas selain memberikan kata-kata semangat buat Nur Azlin.
Nur Azlin yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Penyiaran dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) berkata, mereka juga tiada kediaman sendiri dan perlu membayar sewa rumah sebanyak RM400 sebulan.
“Adik-adik ada menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan namun ia belum mencukupi untuk menampung kehidupan mereka, tambahan pula ramai yang masih bersekolah.
“Selagi kudrat masih ada, saya akan terus kuat untuk membesarkan adik-adik sehinggalah mereka mampu membina kehidupan sendiri.
“Saya juga tidak mahu kami adik beradik terpisah dan mahu mengharungi kehidupan ini bersama-sama,” katanya yang turut menghidap penyakit asma.
Sumber: Metro