Pasir Mas: Ketika rakan seusia gigih bekerja dan membina kerjaya, Mohamad Akhir Jori, 25, terpaksa bertarung dengan penyakit dihidapinya di rumah serta bertemankan mesin oksigen untuk meneruskan kehidupan.
Mohamad Akhir disahkan mengalami jangkitan kuman di bahagian paru-paru seawal usia dua tahun, menyebabkan dia mengalami asma kronik selain masalah jantung dan terpaksa menggunakan mesin oksigen setiap masa sejak Julai 2019.
Dia melalui kehidupan penuh dugaan dan kesakitan malah Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Kota Bharu, bagaikan rumah pertamanya kerana lebih banyak masa dihabiskan di sana susulan penyakitnya dihidapinya.
“Saya hanya bersekolah sampai darjah dua kerana masa banyak dihabiskan di hospital, boleh dikatakan dalam sebulan hanya dua atau tiga hari sahaja saya di rumah. Jadi, jika orang tanya apa cita-cita saya, ia soalan yang sukar, tak sempat nak fikir nak jadi apa kerana sakit setiap masa.
“Bagaimana pun, terbit rasa cemburu melihat rakan seusia yang lain mengejar cita-cita mereka, namun saya reda dengan ujian Tuhan ini dan menganggap saya sebagai insan terpilih selain sentiasa berdoa diberi kesihatan lebih baik kelak.
“Sekarang saya perlu membiasakan diri hidup ‘bertemankan’ mesin oksigen hasil sumbangan Yayasan Raja Shamri (YRS) kerana ia satu-satunya yang membantu saya untuk terus bernafas,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan wakil (YRS) di rumahnya di Kampung Batu Karang Dalam, di sini, semalam.
Wakil YRS, Tuan Zaimah Raja Omar, menyampaikan sumbangan katil, kewangan, pek makanan dan mesin oksigen diwakafkan hasil sumbangan orang ramai melalui yayasan berkenaan.
Mohamad Akhir berkata, dia berterima kasih dan bersyukur atas bantuan diberikan kerana sedikit sebanyak meringankan beban bapanya, Jori Ismail, 60, dan ibunya, Samsiah Omar, 49, yang hanya bekerja sebagai penoreh getah.
“Sebelum ini, bapa saya terpaksa menyewa mesin oksigen atau menghantar saya ke hospital kerana kami tidak mampu memiliki mesin berkenaan, jadi apabila YRS memberitahu untuk mewakafkan mesin ini pada saya, hanya tuhan saja tahu perasaan ketika itu.
“Nikmat kesihatan yang baik adalah sesuatu yang sangat berharga bagi saya, justeru saya nasihatkan kepada anak muda lain supaya menghargai masa sihat untuk perkara bermanfaat selain sentiasa bersyukur padaNya,” katanya yang juga anak ke tiga daripada tujuh adik beradik.
Mohamad Akhir adalah penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan.
Bagi yang ingin menghulurkan bantuan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam milik Mohamad Akhir Jori di nombor 03-027-02-959717-6.
Sumber: Metro