Mengenai Kami

Sebuah Perjalanan Kemanusiaan

Sejak 2019, Yayasan Raja Shamri telah berkomitmen untuk menjadi ”tangan yang menghulur, kaki yang melangkah, dan hati yang mendengar” bagi masyarakat yang sering kali terpinggir. Salah satu misi terbesar kita ialah membantu mangsa banjir di pedalaman, yang telah kita laksanakan selama 10 tahun berturut-turut. Bayangkan — sepuluh tahun kita bersama mereka. Sepuluh tahun mengarungi air banjir yang keruh, sepuluh tahun mengangkat barangbarang keperluan melalui jalan berlumpur, sepuluh tahun memastikan tiada keluarga yang tidur dengan perut kosong ketika musim banjir melanda.

Ribuan mangsa telah merasai bantuan kita, dari selimut dan makanan sehingga pembinaan semula rumah-rumah yang musnah. Namun, yang lebih bermakna bukan sekadar bantuan material, tetapi kehadiran kita di sisi mereka. Ketika air surut, yang tinggal bukan hanya lumpur, tetapi juga harapan. Harapan bahawa mereka tidak dilupakan. Harapan bahawa ada insan yang peduli.

Perjalanan ini masih panjang

Setiap langkah yang dilalui mengajar kami bahawa kerja kemanusiaan bukan sekadar tentang menghulurkan bantuan. Ia tentang hadir ketika diperlukan, mendengar kisah mereka dan terus berjalan bersama. Dari satu misi ke satu misi, kami bertemu dengan pelbagai insan dan pengalaman yang membentuk perjalanan Yayasan Raja Shamri. Perjalanan ini masih panjang, dan selagi ada ruang untuk berbuat baik, kami akan terus melangkah.

Perjalanan Kami

Dari satu langkah kecil kepada sebuah perjalanan kemanusiaan yang terus berkembang.

2014

Gelombang Jom Jadi Orang Baik Bermula

Banjir besar di Kelantan menjadi titik penting dalam perjalanan kemanusiaan ini. Daripada sebuah gerakan untuk membantu mereka yang memerlukan, lahirlah gelombang Jom Jadi Orang Baik (JJOB) yang menyatukan lebih ramai insan dalam semangat untuk berbuat baik.

2015

The 3rd Force Ditubuhkan

The 3rd Force (THIRDFORCE) didaftarkan secara rasmi sebagai sebuah NGO di bawah Akta Pertubuhan 1966. Penubuhan ini menjadi langkah penting dalam memperkukuh gerakan kemanusiaan yang telah bermula, sekali gus membuka ruang untuk lebih banyak usaha kebajikan, bantuan dan sokongan kepada masyarakat yang memerlukan.

2016

Gelombang The 3rd Force Terus Berkembang

Gelombang The 3rd Force terus berkembang dengan penglibatan lebih ramai sukarelawan dan penyokong dari dalam serta luar negara. Semangat untuk berbuat baik semakin meluas, membawa bersama lebih banyak usaha kemanusiaan, bantuan kebajikan dan sokongan kepada masyarakat yang memerlukan.

2019

Yayasan Raja Shamri Ditubuhkan

Perjalanan kemanusiaan ini memasuki fasa baharu dengan penubuhan Yayasan Raja Shamri (YRS) yang berdaftar di bawah Jabatan Perdana Menteri. Langkah ini mengukuhkan usaha kebajikan agar dapat digerakkan dengan lebih tersusun dan memberi manfaat kepada lebih ramai golongan yang memerlukan.

2020

Misi Bantuan Diperkukuhkan

The 3rd Force bernaung di bawah YRS sebagai cabang Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR). Melalui langkah ini, gerakan bantuan mula diperkukuhkan dengan pendekatan yang lebih berfokus, tersusun dan menyeluruh dalam menyantuni masyarakat yang memerlukan.

2021

Amanah dan Pengiktirafan

YRS menerima satu lagi amanah apabila dilantik sebagai amil oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK). Pelantikan ini membuka ruang untuk yayasan memperluas usaha kebajikan dan membantu masyarakat melalui tanggungjawab yang lebih besar.

2023

Kelulusan Pelepasan Cukai

YRS menerima kelulusan pelepasan cukai pendapatan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Pencapaian ini menjadi satu langkah penting dalam mengukuhkan keyakinan para penyumbang serta menyokong kesinambungan misi bantuan dan kebajikan yayasan.

2024

Memperkukuh Pertahanan Awam

Penubuhan CDA YRS Angkatan Pertahanan Awam Malaysia membuka satu lagi lembaran baharu dalam perjalanan yayasan. Kerjasama ini memperkukuh kesiapsiagaan sukarelawan serta keupayaan untuk bertindak dalam misi kecemasan, bencana dan bantuan kemanusiaan.

2026

Melangkah Lebih Jauh

Perjalanan ini terus berkembang dengan usaha meluaskan jaringan bantuan dan menghubungkan lebih ramai insan yang mahu berbuat baik. YRS terus melangkah dengan satu tujuan — melahirkan masyarakat yang saling membantu, lebih prihatin dan sentiasa hadir untuk mereka yang memerlukan.