Sinar Harapan Buat Keluarga Fauzul

“Rumah ini sudah terlalu uzur… namun di sinilah tujuh beranak terus bertahan meneruskan kehidupan.”
Hari ini pasukan sukarelawan TF hadir menziarahi sebuah keluarga yang hidup dalam serba kekurangan selepas menerima maklumat mengenai keadaan mereka yang amat menyedihkan.

Di rumah usang inilah Abang Fauzul dan Kak Linda membesarkan lima orang anak yang masih bersekolah. Rumah yang didiami merupakan peninggalan arwah orang tua mereka. Namun sehingga hari ini, mereka menghadapi kesukaran untuk memohon rumah baharu daripada pihak berwajib kerana rumah tersebut bukan atas nama Abang Fauzul.
Melihat sendiri keadaan rumah ini benar-benar meruntun hati kami. Bumbung bocor di banyak tempat, dinding semakin reput, manakala bahagian dapur pula terpaksa ditongkat kerana bimbang rebah pada bila-bila masa. Dapur gas yang digunakan juga sudah terlalu uzur dan berkarat, namun itulah satu-satunya tempat mereka menyediakan makanan buat sekeluarga.

Anak-anak pula hanya berhimpun dan tidur di ruang tamu yang kecil. Tiada bilik yang selesa untuk mereka berehat atau mengulang kaji pelajaran. Walaupun hidup dalam serba kekurangan, wajah mereka tetap dihiasi senyuman. Mereka menerima setiap ujian dengan penuh reda.

Menurut Abang Fauzul, sebelum ini mereka hanya bergantung kepada tadahan air hujan untuk kegunaan harian. Alhamdulillah, baru-baru ini seorang hamba Allah telah menyumbangkan sebuah enjin air, sedikit sebanyak meringankan beban keluarga ini.

Abang Fauzul sendiri sedang menghidap penyakit, manakala anak sulung mereka juga mempunyai masalah kesihatan dan merupakan pemegang kad OKU. Pasangan suami isteri ini mencari rezeki dengan menjual umpan kepada pemancing. Pendapatan yang diperoleh sangat kecil dan sekadar cukup untuk meneruskan kehidupan. Syukur, pihak JKM turut membantu melalui bantuan bulanan bagi anak-anak yang masih bersekolah.

Lebih menyedihkan, seorang anak perempuan mereka terpaksa tercicir daripada persekolahan akibat masalah pendaftaran ketika berada di Tingkatan 3. Kini usianya sudah sepatutnya berada di Tingkatan 4, namun dia masih menyimpan impian untuk kembali menyambung pelajaran seperti rakan-rakan yang lain.

Kisah keluarga ini telah kami sampaikan kepada Abang Raja. Insya-Allah beliau akan berusaha mendapatkan maklumat lanjut mengenai status rumah Abang Fauzul agar jalan penyelesaian dapat dicari. Pada masa yang sama, usaha juga akan dilakukan bagi membantu anak perempuan mereka kembali menyambung persekolahan.

Bantuan awal yang akan diusahakan ialah menyediakan peralatan memasak yang lebih selamat serta tempat tidur yang lebih sempurna untuk anak-anak keluarga ini.
Melihat keadaan Abang Fauzul, kami tahu beliau telah berjuang sendirian terlalu lama. Kudrat yang semakin terbatas tidak menghalang beliau daripada terus berusaha mencari rezeki demi isteri dan anak-anak.

Mungkin Allah tidak menghadirkan kisah ini sekadar untuk kita melihat. Mungkin Allah sedang menguji sejauh mana hati kita masih mempunyai rasa belas kasihan terhadap saudara yang sedang diuji.

Marilah kita bersama-sama menjadi asbab perubahan buat keluarga ini. Semoga setiap sumbangan, doa dan keprihatinan daripada orang baik-baik menjadi sinar harapan agar mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa dan bermaruah.

Jom jadi orang baik-baik. ❤️

Untuk sama-sama membantu pelbagai program bantuan Yayasan Raja Shamri dan Thirdforce sumbangan boleh di salurkan ke akaun YAYASAN RAJA SHAMRI seperti berikut:-
Sumbangan Am :-
No akaun : 1102074345
Nama Akaun: YAYASAN RAJA SHAMRI
Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat)
Atau klik link FPX / Toyyibpay di bawah :
atau
Akaun Khusus Untuk Sumbangan Zakat dan Fidyah:-
YAYASAN RAJA SHAMRI
CIMB Islamic Bank Cawangan Machang Kelantan
No Akaun: 860 4333 655
h/p : 017-3872232
email : rshamri@hotmail.com
***************************
⚠️ DISCLAIMER / PENAFIAN RASMI
Yayasan Raja Shamri tidak pernah melantik mana-mana pihak ketiga untuk menguruskan sumbangan atau bantuan.
Segala urusan hanya melalui saluran rasmi yayasan.
Berhati-hati dengan scammer yang menyamar menggunakan nama YRS.
Yayasan Raja Shamri telah mendapat kelulusan dari LHDN untuk para penyumbang mendapat pelepasan cukai pendapatan dibawah subseksyen 44(6), Akta Cukai Pendapatan 1967 disamping kita juga adalah Amil Zakat MAIK yang dilantik sejakj 2021.
Wallahualam.
*Kongsikan posting ini sejauh mungkin moga ada sinar rezeki buat mereka yang memerlukan, insya ALLAH ada saham akhirat dan pahalanya disebalik sedikit usaha kecil kita.

No Comments

Post a Comment

Shortcode doesn't exist